KERAJAAN Sabah menafikan mengeluarkan arahan melarang pendakwah bebas, Ebit Lew meneruskan kerja amal di Semporna.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata pihaknya juga telah merujuk sama ada polis atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ada mengeluarkan larangan terhadap Ebit.
“Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada sesiapa sahaja untuk melaksanakan kerja kebajikan di negeri ini. Polis dan ESSCOM juga menyatakan perkara sama.
“Cuma di pantai timur Sabah tertakluk kepada peraturan perintah berkurung, malah dilarang pergi ke tempat tertentu kerana ada risiko keselamatan.
“Polis dan Angakatan Tentera Malaysia (ATM) memandang berat perkara ini agar tidak menjadi sasaran sebarang cubaan jenayah,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah di Kota Kinabalu malam tadi, lapor Berita Harian.
Beliau diminta mengulas dakwaan yang kerajaan negeri mengeluarkan arahan agar pihak berkuasa menghalang Ebit meneruskan aktiviti amal di Semporna semalam.
Mengulas lanjut, Masidi berkata, tiada larangan dikenakan terhadap sesiapa termasuk untuk melaksanakan kerja kebajikan, malah program seumpama itu juga disokong oleh pihak polis.
Namun katanya, program itu perlulah dilaksanakan pada masa ditetapkan, bukan ketika masa larangan.
“Ini kerana Semporna berada dalam Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE). Kita bukan mahu menakutkan sesiapa tetapi kenyataannya kawasan ini masih berbahaya untuk dilawati dan masih tertakluk kepada perintah berkurung,” katanya.
Perintah Berkurung di kawasan ESSZONE termasuk Semporna dilaksanakan sejak 2013 bagi mengekang ancaman rentas sempadan termasuk penculikan yang didalangi anggota militan dari selatan Filipina.
Semalam Ebit menerusi hantaran di Facebooknya memaklunkan beliau terpaksa menghentikan misi menyampaikan bantuan kepada penduduk di Semporna.
Ebit berkata beliau tidak dibenarkan untuk ke pulau-pulau di Semporna serta perlu menghentikan penyampaian bantuan atau boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang mengeluarkan arahan agar tidak meneruskan misi bantuan berkenaan.
Ebit juga memberitahu terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat untuk kegunaan masyarakat setempat yang telah dirancang. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

