PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan memperluaskan program beras percuma kepada golongan B40 di seluruh negara.
Beliau berkata, ia sebagai menyusuli Program MyBeras@Wilayah yang mana warga Wilayah Persekutuan kurang berkemampuan bakal menerima sekampit beras secara percuma setiap minggu.
“Benar Program MyBeras@Wilayah dikendalikan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.
“Tetapi sampaikah hati kita melihat mereka di tempat lain yang mungkin juga memerlukan bantuan beras berputih mata mendengar pengumuman program itu?
“Mereka juga perlukan beras seperti penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Mereka juga rakyat Malaysia. Nasi adalah makanan rutin rakyat Malaysia.
“Mujur makanan rutin rakyat Malaysia bukan chicken chop atau daging harimau menangis, maka tidaklah setinggi itu kos diperlukan kerajaan untuk membantu rakyat mengalas perut pada waktu sukar begini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahmad Zahid berkata, beliau diberitahu sebanyak 5,750 kampit beras diedar setiap minggu kepada penduduk dari kumpulan keluarga B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula Ahad lalu menerusi Program MyBeras@Wilayah.
“Saya juga berharap lebih banyak kampit beras disediakan di bawah program ini. Kita diberitahu keluarga yang berada di bawah garis kemiskinan di Kuala Lumpur dianggarkan lebih 30,000.
“Saya juga berharap program pemberian beras percuma ini diperluaskan ke negeri lain supaya bersifat menyeluruh,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

