APA kesalahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga polis membuka kertas siasatan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, soal Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor.
Ia susulan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan Anwar selepas 13 laporan polis dibuat ke atasnya kerana didakwa menghasut dan mengancam keselamatan serta ketenteraman negara.
Mohamad Suparadi berkata, pihaknya yakin Anwar tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut Akta Hasutan kerana Ketua Pembangkang itu hanya mempersembahkan warkah daripada 114 Ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong agar Dewan Rakyat dibenarkan bersidang ketika Proklamasi Darurat sedang berlangsung.
“Saya yakin warkah yang dipersembahkan itu adalah agar Parlimen dibenarkan bersidang bagi membincang keperitan rakyat ketika pendemik ini serta melakukan semak imbang dasar dasar kerajaan agar lebih telus dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara.
“Jadi saya berharap kerajaan bersikap lebih profesional dan bukan mempolitikan isu dengan menuduh Ahli-Ahli Parlimen melanggar Akta Hasutan dan lebih teruk menuduh Anwar menderhakai Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Supardi, isi kandungan warkah tersebut bukanlah mendesak Yang Di Pertuan Agong, tetapi dilakukan di dalam ruang lingkup penuh beradab dan tatasusila serta menjujung tinggi instisusi raja dan Proklimasi Darurat yang dizahirkan Seri Paduka Baginda.
Malah katanya, tiada satu pun perkataan di dalam setiap kenyataan Anwar mempunyai maksud menghasut yang boleh membawa kepada ancaman keselamatan negara dan membawa kepada kebimbangan awam di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata selain Anwar, turut disiasat beberapa individu yang senada dengan ketua pembangkang itu.
Pada 20 Januari lalu, Anwar mendakwa majoriti Ahli Parlimen sudah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi meminta perkenan baginda menggugurkan pengisytiharan darurat.
Warkah itu, katanya, bukan membantah sebaliknya merayu ihsan serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi mengkaji semula alasan dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. – Malaysiapost
