SERAMAI 80,000 melibatkan pesara, bekas atau petugas polis akan menerima bantuan sebanyak RM500 seperti diumum kerajaan dalam Belanjawan 2021 bermula Mac ini.
Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ramli Din berkata pembayaran inisiatif secara ‘one off’ itu akan dibuat sehingga November ini secara berperingkat.
Menurutnya, pemberian itu akan diberi kepada mereka yang layak mengikut statut Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) termasuk yang belum menerima pingat.
“Semasa ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 26 November tahun lalu, kerajaan bersetuju memberi inisiatif pemberian bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada kategori pesara polis, bekas polis dan petugas polis yang masih hidup iaitu seramai 80,000 orang.
“Jabatan Pengurusan PDRM diberi tanggungjawab membantu dan menyelaras urusan PJPN dan pemberian bantuan ini melalui Bahagian Hal Ehwal PESARA Polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli berkata, pengemaskinian maklumat penerima boleh dibuat melalui pautan http://[email protected].
“Pemohon perlu menyediakan dokumen-dokumen sokongan (perlu disahkan) seperti mana disyaratkan dalam surat pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 7, Tahun 2018.
“Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai akan membantu dalam memudahkan urusan pengemaskinian maklumat dan pengesahan dokumen yang diperlukan,” katanya.
Menurutnya, sebarang pertanyaan pemohon boleh menghubungi talian 03-2266 4011/4012/4013/4014/4015 di Bilik Gerakan ePesara PDRM yang beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari bekerja. – Malaysiapost

