Terima bekalan vaksin Covid-19 seperti dijadualkan – Khairy

0
2

KESATUAN Eropah (EU) dan Belgium memberi jaminan vaksin Pfizer BioNTech yang diperolehi Malaysia akan dihantar mengikut perjanjian.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin, berkata EU dan Belgium sudah memberi jaminan berkaitan hal tersebut.
Ia berikutan EU melaksanakan sistem kawalan eksport ke atas vaksin yang dibangunkan dalam kalangan negara anggotanya.

“Hari ini saya mengadakan perbincangan dengan Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas dan Duta Belgium ke Malaysia, Pascal H Gregoire bagi mendapatkan penerangan lanjut berhubung status penghantaran vaksin ke Malaysia.
“Mengambil maklum vaksin Pfizer dihasilkan di Puurs, Belgium, duta negara itu memberi jaminan Perjanjian Pembelian Awal (APA) bersama Pfizer akan dipenuhi selepas syarikat itu membuat permohonan kebenaran mengeksport.

“Vaksin terbabit akan dihantar mengikut jadual ditetapkan bermula bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerajaan sudah meminta Pfizer segera mendapatkan kelulusan daripada kerajaan Belgium bagi mengeksport vaksin berkenaan ke Malaysia.

“Penghantaran pertama sejuta dos vaksin terbabit secara berperingkat akan digunakan bagi proses inokulasi fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan.

“Dengan jaminan kedua-dua Duta EU dan Belgium, pelan imunisasi Covid-19 akan berjalan mengikut jadual,” katanya.
Sementara itu, Rokas dalam kenyataannya menjelaskan, sistem kawalan eksport yang diperkenalkan pada 30 Januari lalu bukan perintah larangan mengeksport.

Sebaliknya, katanya, ia adalah mekanisme bagi memastikan ketelusan dalam proses eksport vaksin yang dibangunkan di negara anggota EU.
Beliau menjelaskan, semua vaksin yang diperoleh menerusi skema COVAX dikecualikan daripada sistem eksport berkenaan termasuk yang dibeli menerusi pembiayaan sendiri seperti Malaysia.

“Hanya vaksin yang dibeli di luar daripada skema COVAX untuk penghantaran pada penghujung Mac ini memerlukan kebenaran mengeksport.

“Kebenaran mengeksport ini akan memastikan ketelusan dalam pasaran yang sensitif dan mengelak penjualan semula serta penyeludupan vaksin ini.

“Proses mendapatkan kelulusan akan dilakukan segera bagi mengelak kelewatan.
“Ini adalah mekanisme memastikan ketelusan khususnya untuk dieksport ke negara ketiga,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan perkara yang terkandung dalam APA akan dilindungi sebaik mungkin.

“EU mengambil berat perjanjian pembelian oleh Malaysia dan akan berusaha memastikan permintaan Malaysia dipenuhi.
“Kami sudah meminta semua syarikat yang terbabit dalam perjanjian ini supaya melaksanakan komitmen dan tanggungjawab mereka,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/01/adam-loi-bukan-penerima-pertama-vaksin-covid-19-kkm/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here