Nelayan tumbuk lelaki ada hubungan sulit dengan isteri

0
2

SEORANG nelayan ditahan polis selepas disyaki menumbuk seorang lelaki yang didakwa berdua-duaan dengan isterinya di sebuah rumah sewa di Kampung Behor Gonchar, Jalan Dato Ali, Kangar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata dalam insiden kira-kira jam 11 malam itu, suspek berusia 26 tahun dikatakan pulang sebelum ternampak sebuah motosikal tidak dikenali diparkir di hadapan rumahnya.

“Suspek yang curiga kemudian mendapati seorang lelaki tidak berbaju berada di dalam bilik tidur bersama isterinya yang hanya memakai baju-T dan berkain batik.

“Berang dengan kecurangan itu, suspek didakwa meluru ke arah lelaki terbabit sebelum menumbuknya dua kali di bahagian muka.

“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian dikata bertindak merosakkan motosikal mangsa diparkir di hadapan rumah suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum ke tempat kejadian dan menahan suspek untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dan wanita terbabit masih pasangan suami isteri yang sah serta tiada sebarang masalah rumah tangga yang serius.

“Malah, tiada sebarang permohonan tuntutan fasakh, nusyuz dan perceraian difailkan di Mahkamah Syariah membabitkan pasangan suami isteri itu, setakat ini.

“Namun, suspek dipercayai sudah lama mengetahui isterinya didakwa ada hubungan sulit dengan mangsa dan sering membawa lelaki itu ke rumah untuk melakukan hubungan seks apabila suspek tidak berada di rumah,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, suspek direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan serta melakukan khianat dengan merosakkan harta persendirian.

Pada masa sama, beliau berkata, mangsa turut dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan persendirian dan memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/02/polis-buka-kertas-siasatan-kes-agama-melayu/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here