Ingkar PKP: ‘Tiada bantuan makanan, takkan mereka perlu berlapar?’ – Warisan

0
2

KETUA Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Azis Jamman mengakui terkejut dengan berita sekumpulan penduduk miskin di pedalaman negeri itu yang dikenakan denda RM1,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, walaupun mereka didapati melanggar arahan PKP, pihak berkuasa seharusnya peka dengan keadaan penduduk yang ketika itu dalam perjalanan ke Tenom untuk membeli makanan dan ubat-ubatan.

“Rakyat sudah melakukan yang terbaik untuk mematuhi PKP tetapi kerajaan juga harus bersimpati dengan keadaan mereka.

“Ia sangat teruk sehingga tidak ada bantuan makanan dalam masa sama pergerakan mereka juga terbatas. Namun, mereka memerlukan makanan dan ubat-ubatan.

“Apa yang diharapkan kerajaan untuk mereka lakukan? Kelaparan?,” soalnya.

Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar mengulas laporan sebuat portal berita mengenai lapan penduduk kampung ditangkap dan didenda pada 27 Januari lalu kerana didakwa ingkar PKP.

Seorang daripada penduduk yang ditangkap itu mendakwa dia terpaksa ke bandar Tenom untuk mendapatkan makanan serta ubat untuk cucu perempuannya yang kurang upaya.

Dia juga meminta kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mempercepat pengagihan bantuan makanan tanpa diskriminasi.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan penduduk kampung berkenaan meluahkan kesedihan kerana dikompaun RM1,000 untuk ke pekan bagi membeli barang keperluan.

Difahamkan, lapan penduduk itu termasuk warga emas dari beberapa kampung.

Mereka ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Tenom untuk dikeluarkan kompaun kerana bas dinaiki melebihi kapasiti 50 peratus penumpang seperti ditetapkan.

Mereka mendakwa tindakan itu dilakukan kerana kesukaran untuk berulang-alik dengan kerap berikutan jarak ke pekan Tenom dari kampung berkenaan agak jauh.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mempertahankan tindakan pihaknya mengenakan kompaun RM1,000 terhadap penduduk berkenaan yang keluar membeli barang keperluan ketika PKP berkuatkuasa. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/02/kami-keluar-beli-barang-bukan-jalan-jalan-penduduk-pedalaman-sabah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here