MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kembali bertugas hari ini, berkongsi pengalaman yang menyakitkan dan perit ketika disahkan positif Covid-19.
Beliau berkata, jangan ambil mudah penyakit inj, sesiapa yang pernah dijangkiti wabak itu tahu betapa peritnya menanggung.
“Sakit…siapa kata tak sakit? Seluruh badan terasa macam kalau demam urat.
“Lemah badan dan kalau sakit kepala macam saya kena, Allah…macam nak meletup kepala.
“Saya punya enzim hati naik sampai paras 900 jadi doktor nak bagi ubat kena berhati-hati. Demam sampai dekat 38.9 C,” katanya seperti dilapor Bernama.
Hamzah berkata, walaupun beliau kini bebas Covid-19, namun dirinya terpaksa menjalani fisioterapi pada paru-paru, sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Beliau juga meminta orang ramai jangan membuat berita palsu yang menimbulkan kegusaran dan ketakutan.
“Saya masuk hospital pada 12 Januari lalu dan walaupun dibenarkan keluar pada 24 Januari, saya kena duduk di rumah untuk seminggu lagi.
“Takkan saya sengaja masuk hospital hampir sebulan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat harus berdoa supaya diselamatkan daripada Covid-19 dalam meneruskan perjuangan yang sebenar, iaitu membangunkan negara, memajukan ekonomi dan menjadikan negara ini aman damai.
“Kepada mereka yang mendoakan saya bertambah teruk, saya ampunkan mereka kerana saya baca Al-Quran.
“Dan tengok banyak kutuk banyaklah pahala yang saya dapat,” katanya.
Hamzah turut berdoa agar Malaysia bebas dari Covid-19 dan berharap rakyat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk penjarakan fizikal untuk memutuskan rantaian penularan.
Pada 11 Januari lalu, Hamzah disahkan positif Covid-19 selepas menjalankan ujian saringan susulan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dijangkiti wabak itu.
Namun, selepas itu tular di media sosial mendakwa beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana kemerosotan kesihatan akibat Covid-19. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/20/covid-19-hamzah-zainudin-stabil-kdn/
https://malaysiapost.com.my/2021/01/27/hamzah-sembuh-daripada-covid-19/

