PENJARA Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan, Melaka akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Rabu ini susulan peningkatan kes Covid-19 di lokaliti berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di penjara dan kuarters berkenaan.
“Sehingga semalam, KKM telah melaksanakan 339 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 113 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan 79 tahanan, 22 kakitangan dan 12 ahli keluarga.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan hari ini PKPD di Penjara Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan, Melaka bermula 3 sehingga 16 Februari 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan PKPD itu bertujuan memudahkan pihak KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti.
“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/31/angka-pesakit-kategori-4-5-makin-menakutkan-najib/

