Ingkar PKP: 776 dikompaun, 50 direman

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan lagi operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tindakan itu jelas dilihat dengan peningkatan jumlah individu yang ditahan kerana ingkar SOP berkenaan dengan seramai 826 individu ditahan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 776 dikompaun manakala 50 individu lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (170), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (158), tidak memakai pelitup muka (128), keluar rumah tanpa alasan munasabah (69), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (248),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM juga telah membuat 61,421 pemeriksaan semalam.

“Seramai 2,841 Pasukan Pematuhan melibatkan 12,690 anggota telah membuat pemantauan di 5,203 restoran, pasar raya (3,565), bank (3,347), pejabat kerajaan (3,015), penjaja (1,897) dan kilang (1,437).

“Turut dipantau ialah 950 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (341) dan terminal pengangkutan udara (81),” katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi kawalan sempadan negara melalui Operasi Benteng (Op Benteng) pula, seramai 20 orang pendatang asing tanpa izin ditahan dan lima kenderaan darat serta tiga bot/kapal dirampas.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan sebuah bot/kapal di perairan negara melalui satu aktiviti penglihatan.

“Op Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 537 Sekatan Jalan Raya (SJR),” katanya.

Sementara itu, menurutnya Kementerian Sumber Manusia juga memaklumkan, seramai 6,641 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 85 orang disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, secara kumulatifnya, sejak 1 Disember 2020, seramai 265,770 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 10,973 majikan.

“Daripada jumlah ini seramai 4,867 orang telah disahkan positif Covid-19, manakala 260,903 lagi adalah negatif.

“Bermula hari ini (1 Februari 2021), kerajaan mewajibkan semua majikan di seluruh negara memastikan pekerja mereka menjalani ujian saringan Covid-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/30/426-ditahan-ingkar-sop-pkpp/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here