PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu bukan sahaja gagal, malah membawa Malaysia ke arah gelombang menakutkan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19.
Pengarah Komunikasi Wanita PKR, Loh Ker Chean, berkata kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya mentadbir negara menyebabkan kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara kelihatan tidak terarah.
“Kes naik mendadak empat angka bahkan lebih daripada 5,000 kes positif berturut-turut sejak 29 Januari lalu.
“Situasi terkini mencetuskan kebimbangan besar buat seluruh rakyat Malaysia termasuk implikasi sosial yang telah meragut nyawa dan memberikan tekanan ekonomi, sosial dan kesihatan rakyat.
“Hal ini membuktikan bahawa kepimpinan Perdana Menteri sedi ada tidak mampu mengimbangi kehidupan dan penghidupan (lives and livelihoods),” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, jika kerajaan sudah tidak mampu menjaga rakyat biarlah berundur dengan cara terhormat.
Katanya, dengan kudrat yang ada, Wanita PKR merasakan sudah tiba masa untuk memperluaskan jaringan sinergi demi kesejahteraan komuniti.
“Kisah suka-duka masyarakat, kehidupan sosial yang tempang, institusi keluarga yang berantakan, keganasan rumahtangga, penderaan anak-anak dan pelbagai kemudaratan menjadi hidangan berita harian amatlah membimbangkan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, bagi meningkatkan kualiti hidup, keselamatan awam dan partisipasi komuniti untuk kesejahteraan masyarakat, Wanita PKR memutuskan pelaksanaan Model Pembangunan Komuniti Yang dikenali sebagai “Komuniti Waspada@ Community Alert”.
“Komuniti Wasapada ini bakal dilancarkan oleh Ketua Wanita Keadila, Fuziah Salleh.
“Model pembangunan komuniti ini akan disusun dan digerakkan oleh Wanita PKR di seluruh negara sebagai sebuah ekosistem sokongan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, ia selaras usaha mengarusperdanakan gender, Wanita PKR terus ke hadapan meneruskan advokasi polisi berkait gender.
“…. terutamanya di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan iaitu Selangor dan Negeri Sembilan, mencontohi Pulau Pinang yang jauh terkehadapan dalam hal ini.
“Seluruh ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) mendoakan agar kita terus kuat mengharungi cabaran pendemik ini dan mengajak seluruh rakyat Malaysia agar terus mematuhi SOP, menjaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing. Bersama kita menjadi pemutus bukan pencetus,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/31/angka-pesakit-kategori-4-5-makin-menakutkan-najib/

