ABIM gesa kerajaan hentikan pembalakan elak ‘Zoonotic Disease’

0
1

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan segala aktiviti pembalakan dihentikan ketika negara sedang hebat dilanda pandemik Covid-19.

Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata aktiviti pembalakan menyebabkan kemusnahan habitat haiwan yang boleh menyebabkan ‘Zoonotic Disease’.

“Dalam beberapa kajian termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli Akademik Fakulti Pharmocology Universiti Teknologi Mara (UiTM), Professor Madya Datuk Dr Vellayan Subramaniam bertarikh 26 Jun 2020, yang menjelaskan bahawa Covid-19 adalah dalam kategori ‘Zoonotic diseases’.

“Zoonotic disease dahulu dianggap tidak ketara di Malaysia kerana hidupan liar dilindungi sebaiknya di hutan dan manusia tidak bertindak untuk mempunyai ‘contact’ dengan haiwan tersebut.

“Tetapi berbeza dengan situasi hari ini ekoran dari pembangunan mega tanpa kawalan yang menyaksikan penebangan hutan dan pemusnahan habitat haiwan liar, maka ‘contact’ antara haiwan liar dengan manusia semakin menjadi kebiasaan.

“Maka, apabila haiwan liar tertekan mereka mengeluarkan virus berbahaya/bakteria dalam badan mereka dan seterusnya boleh memberi kesan kepada kehidupan manusia,” katanya.

Selain itu, Muhammad Faisal berkata, bencana alam seperti banjir besar yang berlaku baru-baru ini dibeberapa buah negeri juga dikatakan berpunca daripada kemusnahan hutan akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

“ABIM juga menegaskan bahawa bencana banjir besar yang sering berlaku berulang kali adalah berpunca dari situasi perubahan iklim.

“Perubahan iklim menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca seperti yang berlaku kini di mana tiada musim yang boleh dijangka berlaku mengikut masa seperti musim tengkujuh.

Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Faisal berkata, ABIM juga keliru dengan kenyataan bercanggah kepimpinan negara terhadap aktiviti pembalakan ketika perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

“Merujuk kepada kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengatakan bahawa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini sektor pembalakan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“ABIM menegaskan perkembangan terbaharu ini amat bercanggah dengan penjelasan Perdana Menteri sebelum ini yang mendakwa bahawa nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk Perisytiharan Darurat dibuat bagi menyelesaikan isu besar yang dihadapi iaitu penularan wabak Covid-19 serta bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri,” katanya.

Justeru, Muhammad Faisal berkata, ABIM menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan mengeluarkan satu perintah moratorium untuk menghentikan sebarang aktiviti pembalakan sebagai solusi tuntas kepada kedua-dua bencana ini yang akhirnya membebankan rakyat.

“Untuk satu jangka masa panjang, aktiviti pembalakan dan kemusnahan alam mempunyai hubungan langsung dengan bencana yang dihadapi kini iaitu penyebaran virus yang pasti akan menjejaskan kehidupan manusia.

“ABIM berpandangan kerajaan persekutuan tidak seharusnya berhadapan dengan masalah untuk mengeluarkan perintah ini kepada semua negeri sekiranya kerajaan benar-benar mempunyai kemahuan politik yang tinggi.

“Ini memandangkan kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pernah mengeluarkan perintah yang sama ke atas ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here