Kalau Umno lemah sudah lama ‘ditalkinkan’ – Zahid

0
1

Nurul Huda Abhar

JIKA Umno lemah sudah lama ‘ditalkinkan’ selepas parti itu jatuh selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, Ahmad Zahid berkata mungkin parti itu sudah ‘dimuziumkan’ dalam gaung paling dalam tanpa seutas tali untuk bangkit semula.

“Jelasnya tidak. Umno tidak mengalah. Panji-panjinya terus berkibar dengan semangat baharu.

“Pemimpin Umno pelbagai peringkat pusat, bahagian, cawangan yang setia terus bertahan dan menggasak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan Umno masih utuh berbekalkan iltizam dan semangat kebenaran menentang fitnah kezaliman dan adu domba tanpa gentar.

Beliau berkata, biarpun terpaksa menyaksikan ramai sahabat perjuangan bertempiaran menyelamatkan diri, itu tidak mematahkan semangat parti itu untuk terus berjuang.

Katanya, kini Umno telah kembali kepada momentum yang sepatutnya, dan semakin terus bergerak ke hadapan.

“Allhamdulillah. Kini Umno semakin jauh keterhadapan. Jauh daripada tebing nan mendukacitakan.

“Terima kasih semua. Perjuangan agama, bangsa dan negara tidak pernah luntur. Kerana itu kita tidak goyah dan masih di sini.

“Kita bersama teruskan momentum Umno. Kita teruskan pelayaran ini. Kepada Allah Swt kita bertawakal,” katanya.

Bekas Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dilaporkan membuat kenyataan mengakui parti Melayu terbesar itu sudah berpecah kepada tiga kumpulan.

Menerusi sebuah program wawancara, Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa, kelompok berkenaan terdiri daripada kumpulan yang menolak kerjasama dengan Bersatu dan kumpulan yang berada di tengah-tengah.

Kata Annuar, wujud juga kumpulan dalam Umno yang menerima kerjasama dengan parti pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu. – Malaysiapost

.

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/24/umno-tidak-akan-surrender-zahid/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here