KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan mengambil tindakan tatatertib terhadap ketua polis daerah, ketua bahagian, pegawai penyiasat kanan serta pegawai penyiasat di negeri itu jika ada kelemahan dalam aspek penyeliaan kertas siasatan.
Katanya, antara kelemahan yang dikesan hasil semakan dan pemeriksaan mengejut dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor termasuk kertas siasatan yang sudah mendapat arahan tuduh di mahkamah daripada Timbalan Pendakwa Raya hampir tujuh bulan, tetapi tidak diambil tindakan oleh pegawai penyiasat.
Sehubungan itu, Ayob Khan berkata, pasukan petugas khas dari IPK Johor akan dihantar bagi membuat pemeriksaan mengejut ke atas kertas siasatan di semua daerah, mulai bulan depan.
“Ada pegawai penyiasat tidak menghantar kertas siasatan untuk edaran pertama dalam tempoh 24 jam dan ada kes tertentu tiada pengedaran kes dalam tempoh tiga bulan.
“Ada pula pegawai penyiasat tidak edar kertas siasatan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya walaupun sudah mendapat laporan kimia dan patalogi menyebabkan tiada waran tangkap dipohon sehingga orang kena tuduh (OKT) gagal dikesan,” katanya pada Amanat Ketua Polis Johor dan laporan prestasi 2020 hari ini, lapor Harian Metro.
Ayob Khan memaklumkan, ada juga kes pegawai penyiasat kanan atau ketua bahagian yang tidak teliti dan memberi arahan terlalu ringkas kepada pegawai penyiasat sehingga berlaku ketirisan pada kertas siasatan.
Katanya, kegagalan itu pula memberi kesan besar membabitkan rekod jenayah suspek atau banduan.
“Ini punca utama mengapa ada pesalah yang dijatuhi hukuman tetapi melepasi tapisan keselamatan pihak berkuasa dan ada dalam kalangan mereka ini masih bekerja dalam sektor awam, swasta, termasuk dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pasukan petugas khas dari IPK Johor yang dihantar bagi membuat pemeriksaan mengejut ke atas kertas siasatan di semua daerah, akan memeriksa sekiranya terdapat kelemahan penyeliaan kertas siasatan dari semua peringkat.
Menurutnya, jika ada kelemahan pada penyeliaan kertas siasatan sama ada di peringkat pegawai penyiasat, pegawai penyiasat kanan, ketua bahagian dan ketua polis daerah, semuanya akan dikenakan tindakan tatatertib tanpa tolak ansur.
“Apa yang jelas di sini kurangnya penyeliaan di peringkat daerah dan ini fakta, seharusnya tiada lagi alasan kerana semua peringkat berkenaan berpengalaman luas dalam bidang dan tanggungjawab masing-masing.
“Saya boleh bertolak ansur dan mempertahankan anggota dan pegawai saya dalam isu di atas tetapi dalam konteks rasuah, salah laku dan bersekongkol dengan penjenayah, dadah dan penyeliaan, tiada tolak ansur dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya. – Malaysiapost

