TEMPAT kerja terus menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 harian dengan 10 lagi kluster tempat kerja dikenal pasti hari ini dengan jumlah keseluruhan kluster baharu adalah 12 kluster.
Dua lagi kluster baharu berkenaan adalah membabitkan komuniti yang dikesan di Tinanom, Sabah dan Tabong, Sarawak.
Johor mencatatkan lima kluster tempat kerja baharu, tertinggi berbanding negeri lain, iaitu di Jalan Kota Burok, Jalan By Pass, Jalan Bistari Dua, Jalan Empayar dan Jalan Rusa Scientex.
Ia diikuti Selangor dengan dua kluster iaitu di Persiaran Subang dan Industri Indah, manakala Kuala Lumpur kluster Tapak Bina Jalan Klang dan Tapak Bina Jalan Vista dan di Sabah kluster Jalan Sepanggar.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhan jumlah kluster kini adalah sebanyak 791, dengan jumlah kluster yang tamat sebanyak 416 termasuk sembilan kluster tamat hari ini.
Menurutnya, sembilan kluster yang tamat pada hari ini ialah Kluster Alor, Kluster Nahaba, Kluster Integra Ikon, Kluster Bukit Naga, Kluster Tapak Bina Metropolis, Kluster Tapak Bina Jalan Gadang, Kluster Tapak Bina Kasih, Kluster Tapak Bina Sinar View, dan Kluster Tapak Bina Residen.
“Jumlah kluster aktif dilaporkan sebanyak 375 kluster dan jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini adalah 89 kluster.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tanjung Suria (385 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (224 kes) dan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (116 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan dan patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu.
“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.
“Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – Malaysiapost

