PEMBAHARUAN semula Kuala Lumpur akan dilaksanakan secara holistik ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang indah dan selesa bersesuaian dengan kududukannya sebagai ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata melalui pembaharuan itu, kawasan bangunan atau tempat tinggal usang seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dirobohkan.
“Pemilik unit-unit itu akan diberikan unit percuma, lebih selesa dengan harga RM200,000 seunit.
“Melalui pelaksanaan pembaharuan semula Kuala Lumpur ini, tumpuan akan diberikan di kawasan yang masih terdapat bangunan dan kediaman berusia melebihi 40 tahun,” katanya melalui satu perkongsian di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, setakat ini beberapa lokasi sudah dikenalpasti.
“Ia membabitkan perumahan awam dan swasta yang akan diubah kepada suasana lebih berkualiti,” katanya. – Malaysiapost

