TINDAKAN tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) membuat permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkenaan penggantungan sidang Parlimen bukan mencabar proklamasi darurat.
Menerusi kenyataan PH berkata, tindakan itu bagi menentukan kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat yang membenarkan penggantungan sidang Parlimen dan DUN adalah tidak sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan.
“Perdana Menteri bersama Kabinet telah bertindak tidak sah dan melanggar Perlembagaan apabila menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk menggantungkan sidang Parlimen dan DUN.
“Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan wakil rakyat di seluruh negara memerlukan persidangan-persidangan pada waktu kritikal ini untuk mengumpulkan suara rakyat yang mereka wakili, membincangkan dan meluluskan undang-undang, dasar atau langkah bagi menangani penularan wabak Covid-19 serta urusan lain membabitkan pentadbiran kerajaan dan kehidupan rakyat,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Setiausaha Agung parti-parti dalam PH iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution (PKR), Datuk Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Anthony Loke (DAP).
“PH mengambil tindakan mahkamah ini atas komitmen dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu merujuk kepada tindakan Adun Simpang Renggam, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Adun Gurun, Datuk Johari Abdul dan Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari yang membuat permohonan berrkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

