AHLI Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan tindakan polis menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rayuannya terhadap Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan proklamasi darurat.
Mohamed Hanipa menerusi hantaran di Facebooknya, mendakwa terkejut membaca laporan media yang menyebut bahawa Anwar kini sedang disiasat polis.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang)
itu meminta polis menjelaskan apakah kesalahan undang-undang yang dilakukan oleh Presiden PKR itu.
“Sepanjang pengetahuan saya, gesaan membatalkan perisytiharan darurat yang dilakukan mana-mana pihak bukanlah suatu jenayah. Mungkin ada yang tidak setuju dengan kenyataan itu.
“Tetapi saya tidak fikir kita boleh kaitkan kenyataan Anwar itu dengan mana-mana kesalahan di sudut undang-undang,” katanya.
Mohamed Hanipa berkata, beliau juga percaya isu yang dibangkitkan Anwar membabitkan perlembagaan persekutuan, yang menurut beliau berada di luar bidang kuasa polis.
Semalam, polis mengesahkan sedang menyiasat Anwar berhubung kenyataannya merayu Agong membatalkan perisytiharan darurat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika mengesahkan perkara itu berkata, kes itu dikendalikan Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Kami membantu mengambil keterangan orang yang membuat laporan itu, tetapi kes itu sudah dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mior Faridalathrash berkata, laporan polis terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu dibuat di Kuala Lumpur. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

