Bekas jurulatih saman KLUFC

0
1

BEKAS jurulatih Kuala Lumpur United FC (KLUFC), Simon Pablo Elissetche Correa menuntut ganti rugi sebanyak RM3.5 juta secara keseluruhan kepada pasukan itu selepas ditamatkan kontrak tanpa alasan munasabah.

Simon mendakwa telah menandatangi kontrak untuk menjadi ketua jurulatih baharu skuad The City Boys pada 18 November lepas dan tiba ke tanah air pada 22 Disember sebelum diarahkan menjalani kuarantin.

Bagaimanapun, pada 8 Januari lalu, kontraknya bersama KLUFC ditamatkan atas alasan tidak mempunyai Lesen Pro A yang diiktiraf Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sehingga digantikan dengan bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Bojan Hodak.

Peguam kepada Simon, Mohd Zhafri Aminurashid menegaskan, lesen yang dimiliki jurulatih itu sememangnya sah dan di­iktiraf oleh AFC serta diakui oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kita akan mengambil dua tindakan iaitu tindakan sivil atas kenyataan fitnah mengenai kelayakan Simon (tiada Lesen Pro A) yang memberi kesan kepada kariernya sehingga ada pasukan di Indonesia yang terpaksa menarik balik tawaran mereka.

“Tuntutan kedua adalah kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana kes ini jelas menunjukkan berlaku pelanggaran kontrak meman­dangkan mereka tidak meneruskan kontrak bersama Simon meskipun sudah menandatangani perjanjian pada November lepas.

“Kita akan meminta ganti rugi dengan anggaran RM500,000 untuk kes FIFA selain pampasan RM3 juta untuk tuntutan sivil. Simon sangat terkesan dengan situasi ini dan tidak mahu kes diselesaikan di luar mahkamah,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Sementara itu, Simon yang sebelum ini mengendalikan skuad kebangsaan Timor Leste berharap apa yang dilakukan ini dapat memberi pengajaran kepada KLUFC, sekali gus membersihkan namanya.

“Saya mengalami kerugian le­bih RM30,000 kerana setiap perbelanjaan sejak tiba di Malaysia tidak dibantu langsung oleh pengurusan KLUFC. Mereka menggantikan posisi saya dengan jurulatih lain (Hodak),” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here