LANGKAH Malaysian Football League (MFL) mengumumkan penundaan tarikh sepak mula Liga Malaysia musim 2021 daripada 26 Februari ke 5 Mac depan disambut baik semua pasukan yang bertanding.
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak berkata, ia keputusan adil selain memahami keperluan utama yang perlu diambil kira ekoran jumlah kes pandemik Covid-19 yang masih di tahap membimbangkan.
“Keputusan yang dilakukan MFL ini adalah sesuatu yang cukup adil kepada semua terutama kebanyakan pasukan sudah tidak boleh berlatih dan sudah tentu MFL telah melakukan kajian mendalam daripada semua segi sebelum membuat keputusan sebegini.
“Begitu juga aksi pembukaan Piala Sumbangsih dan saya rasa pandangan Johor Darul Ta’zim juga telah diambil kira, jadi kami bersedia untuk bermain pada 5 Mac jika mengikut perancangan terbaharu,” katanya yang mengakui sangat sedih dengan ketiadaan Piala FA pada musim ini.
Sementara itu, Pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh turut bersependapat dengan Aidil sambil menyatakan keselamatan pemain dan pengawai menjadi faktor paling penting yang perlu ekoran lonjakan kes pandemik Covid-19 yang begitu tinggi.
Katanya, MFL perlu membuat keputusan sedemikian agar ada ruang untuk pasukan melakukan persiapan pra musim sambil optimis akan ada langkah susulan daripada badan pentadbir Liga Malaysia itu jika kebanyakan pasukan belum boleh berlatih selepas 4 Februari depan.
“Apa yang kita kena tengok sekarang adalah keselamatan semua, kita sudah tentu tidak mahu kalau liga berjalan juga, akan ada kes kluster membabitkan pemain dan pegawai, jadi memang wajar Liga Malaysia ditangguh.
“Mengenai persiapan, Sri Pahang sememangnya telah bermula tempoh hari sebelum PKP dilaksanakan dan kita harap semua pasukan berpeluang dapat jalani latihan sebaik tiada lagi PKP mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya,” katanya.-Malaysiapost
Artikel berkaitan:

