Kerajaan jangan takut berhutang demi bantu rakyat

0
1

KERAJAAN digesa bertindak segera menangani masalah ekonomi yang dihadapi rakyat susulan pandemik Covid-19 termasuk membuat belanjawan dan perbekalan tambahan jika perlu.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata kerajaan tidak perlu takut defisit atau hutang jika ia dapat membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat kemerosotan ekonomi susulan wabak berkenaan.

Menurutnya, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia menerbitkan laporan berhubung pakej rangsangan ekonomi Malaysia semenjak bermula penularan Covid-19 dan antara rumusannya adalah walaupun saiz keseluruhan pakej tampak besar, hakikatnya suntikan fiskal adalah kedua terkecil di rantau Asia Tenggara.

“Beberapa negara yang berani menambah hutang kerajaan, lazimnya berjaya membantu mengawal peningkatan hutang rakyat.

“Pendek cerita, defisit dan hutang kerajaan bukan perkara yang perlu ditakuti atau dielakkan sepanjang masa. Yang kita harus lebih risau adalah hutang rakyat yang bertambah. Kadang kala, dengan menambah hutang kerajaan, jika ke arah perkara yang betul ia boleh menurunkan beban rakyat.

“Atas apa-apa sebab, institusi pembuatan dasar dalam negara masih dalam mode konvensional, iaitu takut hutang dan takut defisit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahril berpendapat, kerangka minda yang menganggap jika defisit kerajaan rendah, maka secara automatik itu adalah pencapaian bagus, sebaliknya jika defisit kerajaan tinggi, automatik ia tak bagus adalah tidak tepat.

“Selain itu, ayat seperti “kerajaan tak ada duit” berkesan menyebar luas ideologi yang saya sebut awal tadi “takut defisit”. Dahulu, sebelum lebih banyak membaca dan belajar, saya sendiri ada ketika berfikir dan berpegang kepada ideologi serupa. Kerana ideologi itu tampak logikal.

“Tetapi ideologi tersebut tersasar terutamanya pada era sekarang. Ia mesti dicabar dan mesti diperbetul.

“Selagi ideologi ini bertapak, selagi itulah kerajaan mengikat tangan sendiri dan akibatnya pemulihan ekonomi tidak akan mencapai potensi,” katanya.

Menurutnya, darurat juga memberi kuasa dan keanjalan luas kepada kerajaan berbanding keadaan biasa dan ia perlu digunakan sewajarnya.

“Seperti sedia maklum, ini termasuklah kemampuan untuk “bypass” proses Parlimen.

“Jika sudah memegang kuasa sementara ini, dan jika rasional yang dikemukakan untuk darurat adalah berkisar Covid-19, maka kuasa itu wajar digunakan sebaiknya demi kemaslahatan rakyat,” katanya.

Menurutnya, keanjalan yang ada pada kerajaan melalui darurat sekarang harus juga terpakai untuk menangani cabaran ekonomi ekoran Covid-19 bukan setakat menangani wabak berkenaan sahaja.

“Harapan saya, kerajaan bertindak segera andaikata perlu belanjawan dan perbekalan tambahan, termasuklah jika perlu meningkatkan kadar siling hutang, atau menerbitkan bon untuk perbelanjaan mengurus (OE).

“Hutang kerajaan boleh diurus diselenggara namun sakit hutang rakyat yang bawa bencana,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here