Beberapa sektor perniagaan dibenarkan beroperasi hingga 10 malam

0
2

KERAJAAN bersetuju menyelaraskan waktu operasi perniagaan bagi semua sektor yang dibenarkan sebelum ini untuk beroperasi sehingga 10 malam bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata berlaku kekeliruan terutama membabitkan penguatkuasaan waktu operasi perniagaan sebelum ini.

“Sebelum ini, semua sektor yang dibenarkan beroperasi hingga 8 malam sebelum kerajaan bersetuju melanjutkan operasi bagi restoran dan kedai makan hingga 10 malam.

“Kita tahu banyak kekeliruan dan menyukarkan penguatkuasaan kerana waktu yang berbeza dan banyak juga permohonan dari sektor perniagaan yang telah dibenarkan untuk melanjutkan tempoh operasi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, selepas penilaian risiko dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju untuk melanjutkan waktu operasi bagi sektor-sektor perniagaan yang dibenarkan boleh sebelum ini hingga 10 malam.

“Antaranya kedai runcit, kedai serbaneka, farmasi, kedai keperluan harian, kedai makanan haiwan, dobi serta kedai cermin mata dibenarkan melanjutkan perniagaan mereka sehingga 10 malam.

“Kita seragamkan semua waktu perniagaan dan ini saya percaya boleh memudahkan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan task force operasi pematuhan,” katanya.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga bersetuju membenarkan sektor perhutanan dan perkayuan serta rantaiannya membabitkan pembalakan dan lain-lain beroperasi seperti biasa juga bermula esok. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here