‘Modul PdPR tidak hanya terhad mengajar dalam talian’ – Menteri

0
2

PENGAJARAN dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak hanya terhad kepada kaedah dalam talian, tetapi turut dilaksanakan secara luar talian melalui kaedah yang bersesuaian bagi guru dan murid.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana buat pertama kali pada 18 Mac 2020, sesi persekolahan dijalankan dengan kaedah yang cukup berbeza daripada sebelumnya.

Menurutnya, pada waktu itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan supaya PdPR dilaksanakan dengan turut mengambil kira pelbagai latar belakang sosioekonomi murid selain cabaran yang dihadapi guru.

“Oleh itu, sejak kali pertama PdPR dilaksanakan, KPM sentiasa menekankan bahawa kaedah PdPR yang ingin digunakan mestilah mengambil kira kesesuaian guru dan murid.

“Sepertimana yang dijelaskan dalam Manual PdPR KPM, PdPR tidak terhad kepada kaedah dalam talian di mana guru boleh menetapkan pelbagai kaedah PdPR luar talian yang bersesuaian untuk murid mereka,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, antara kaedah luar talian yang digunakan ialah penyerahan modul pembelajaran atau latihan kepada murid.

Katanya, murid akan melaksanakan PdPR dengan menyiapkan modul yang diberikan sebelum menghantar semula kepada guru untuk diperiksa dan guru kemudian akan menyerahkan modul yang berikutnya.

“Modul diserahkan kepada murid melalui pelbagai pendekatan. Ada sekolah yang menggunakan kaedah pandu lalu dan ramai juga guru yang menghantar sendiri modul ke rumah murid.

“Bahkan, saya dimaklumkan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya, di Sabah menaiki bot untuk menghantar bahan pembelajaran kepada murid mereka,” katanya.

Beliau berkata, sama ada secara dalam talian mahupun di luar talian, kesungguhan guru untuk menyampaikan ilmu kepada anak didik tiada tolok bandingnya.

“Terima kasih, Cikgu! Kepada ibu bapa, kami mengucapkan setinggi penghargaan atas sokongan dan dokongan yang diberikan kepada guru sepanjang tempoh yang mencabar ini.

“Pandemik Covid-19 yang muncul tanpa diduga telah memberi kesan mendalam kepada sektor pendidikan di seluruh dunia.

“Walau apa pun cabaran, KPM akan terus berusaha gigih untuk memberikan yang terbaik kepada generasi pewaris negara,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here