SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan solat Jumaat, fardu dan solat jenazah diadakan di semua masjid dan surau negeri itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia bagaimanapun terhad kepada jumlah maksimum 40 jemaah sahaja tidak termasuk ahli jawatankuasa masjid atau surau.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan itu dikurnia Sultan Nazrin selepas menimbang sembah cadangan MAIPk yang berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negeri Perak.
Menurutnya, surau yang dibenarkan adalah termasuk yang terletak dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, maktab, sekolah, syarikat dan kilang.
Beliau berkata, jemaah yang dibenarkan adalah dalam kalangan warganegara Malaysia berusia antara 16 tahun hingga 70 tahun dengan aktiviti keagamaan lain hanya dibenarkan antara waktu Maghrib dan menjelang Isyak sahaja.
Menurutnya, sebarang acara jamuan dalam dan di kawasan perkarangan masjid atau surau tidak dibenarkan.
“Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertanggungjawab mengeluarkan panduan lengkap kepada semua ahli jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau, disamping bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan,” katanya dalam kenyataan
, hari ini.
Mohd Annuar berkata, Sultan Nazrin turut menitahkan supaya semua masjid dan surau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP dan mematuhi syarat ditetapkan mengikut garis panduan yang dikeluarkan JAIPk yang berkuat kuasa mulai esok.
Menurutnya, Sultan Nazrin menitahkan agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat hajat setiap hari bagi memohon supaya bencana kesihatan ini dapat dibendung. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

