KEMENTERIAN Kewangan serta Bank Negara digesa mengeluarkan arahan jelas kepada institusi kewangan mengenai moratorium bagi meringankan beban dan bukannya menambah tekanan ekonomi rakyat.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata lanjutan moratorium secara automatik perlu dilaksanakan segera dan ianya haruslah tidak mengandungi syarat-syarat terselindung.
Menurutnya, sejak dari awal perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi beliau dan pemimpin Umno lain sudah beberapa kali memberi saranan supaya kerajaan melaksanakan langkah-langkah perlu bagi mengurangkan tekanan ekonomi yang dialami oleh rakyat ketika ini.
“Malah, dalam surat saya selaku Presiden Umno kepada Perdana Menteri sebelum ini juga saya tekankan agar perihal ekonomi rakyat dijadikan keutamaan dan diberi perhatian penuh oleh kerajaan.
“Dalam keadaan sekarang ini, bukan hanya golongan B40 sahaja yang terkesan, tetapi juga golongan M40 yang terjejas pendapatan, dan ada yang terpaksa menambah komitmen bagi berhadapan dengan norma baharu dalam pelbagai perkara,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, adalah tidak wajar bagi institusi kewangan mengaut sebarang keuntungan tambahan dalam bentuk apa-apa fi atau caj bunga ke atas baki pinjaman atas apa alasan sekalipun.
“Kerajaan juga perlu segera menyiasat laporan yang mengatakan terdapat institusi kewangan mengambil kesempatan atas nama penangguhan pembayaran pinjaman tanpa melaksanakan moratorium tetapi menawarkan penjadualan semula pinjaman atau penstrukturan semula pinjaman (R&R rescheduling and restructuring).
“Penundaan pembayaran pinjaman diberikan untuk tempoh beberapa bulan tetapi kemudian memanjangkan tempoh pembayaran yang akhirnya memberi keuntungan kepada pihak kreditor,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pihaknya percaya lanjutan moratorium ini akan dapat digunakan sebaiknya oleh rakyat bagi menampung serba sedikit kekurangan tunai dan secara tidak langsung, meningkatkan aliran tunai dalam pasaran.
“Sektor perbankan tidak akan mengalami krisis sekiranya perintah perlanjutan moratorium dilaksanakan, ini kerana sektor perbankan di negara kita bukan sahaja masih mengaut keuntungan besar pada tahun lalu, malah sektor perbankan di Malaysia juga berada dalam kedudukan ketahanan modal yang ampuh dalam mengharungi krisis ini,” katanya.
-Malaysiapost
Artikel berkaitan:

