BPR: Permohonan baharu dibuka hingga 15 Febuari

0
1

PROSES permohonan baharu untuk Fasa Pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang dipercepatkan daripada Mei kepada hujung Februari sudah dibuka untuk permohonan sehingga 15 Februari ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata permohonan BPR itu boleh dibuat melalui pautan https://bpr.hasil.gov.my.

“Bantuan berkenaan diharap dapat memanfaatkan lebih lapan juta penerima B40 yang lulus di bawah BPN 2.0 dan Bantuan Sara Hidup 2020 (BSH 2020), selain mereka yang lulus permohonan baharu kelak,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat beliau ketika menyampaikan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-38 secara dalam talian, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) awal bulan ini berkata, fasa pertama BPR akan membabitkan lebih lapan juta penerima.

BPR akan memanfaatkan golongan isi rumah berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan dengan bantuan sebanyak RM300, manakala bagi kategori bujang berpendapatan sehingga RM2,000 akan menerima RM150.

Sementara itu, Tengku Zafrul menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bekerjasama rapat dengan Yayasan Hasanah untuk mempercepatkan penyampaian 150,000 komputer riba oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bermula bulan depan.

“Ini bagi memastikan anak-anak kita dari keluarga B40 dapat meneruskan pelajaran secara dalam talian walaupun dari rumah. Ini adalah salah satu cara kita memanfaatkan ekosistem Kerajaan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Ini juga bukan kali pertama Yayasan Hasanah berganding bahu dengan KPM bagi menyumbang kepada perkembangan sektor pendidikan terutama bagi pelajar di luar bandar.

“Untuk pengetahuan umum, dari 2015 hingga 2019, Yayasan Hasanah sudah membelanjakan sebanyak RM363 juta untuk tujuan ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here