MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan membincangkan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada beberapa sektor perniagaan lain akan dibenarkan beroperasi dalam masa terdekat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya menerima keluhan sebahagian rakyat yang mahukan beberapa sektor diberi kelonggaran untuk dibuka.
“Ini termasuk pembukaan pasar malam, kedai cuci kereta, kedai gunting rambut dan beberapa sektor lain.
“Untuk makluman semua, perkara ini sedang diteliti MKN bersama KKM dan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kerajaan memandang serius dan tidak akan bertoleransi terhadap penyebar berita palsu sehingga menimbulkan panik dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Sehingga semalam, sebanyak 279 kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 141 kes masih dalam siasatan, 35 kes telah didakwa di mahkamah, 12 kes diberi notis amaran dan bagi kes yang telah didakwa di mahkamah, sehingga kini 21 didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan,” katanya.
Menurutnya, Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan sebanyak 425 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan Covid-19.
“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.
“Anda juga boleh dikenakan tindakan jika menyebarkan perkara yang belum tentu sahih. Sekiranya terdapat sebarang berita yang diragui kesahihannya, anda boleh menyemak atau menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-89115103 atau layari www.sebenarnya.my,” katanya. -Malaysiapost

