Nurul Huda Abhar
KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat memberi jaminan yang jelas bagaimana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapat menurunkan kes jangkitan harian Covid-19.
Presidennya, Adnan Mat berkata ketika ini petugas di Kementerian Kesihatan (KKM) sangat tertekan kerana terpaksa bertugas lebih daripada kebiasaan sejak Februari tahun lalu disebabkan penularan Covid-19 yang begitu mendadak.
Bahkan, menurut Adnan, cuti petugas KKM bukan saja dibekukan, malah jadual waktu kerja menjadi lebih panjang dan tidak menentu kerana perlu mengendalikan kes-kes Covid-19 dan lain-lain pesakit.
“Cuepacs bimbang pelaksanaan PKPB yang sama seperti sebelum ini tidak mampu menurunkan kes harian Covid-19 yang pada akhirnya memberi kesan kepada bebanan kerja petugas kesihatan.
“Hal ini disebabkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma hidup baharu dalam kalangan masyarakat yang tidak begitu memuaskan.
‘Amalan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan SOP yang terkawal di tempat kerja tidak dipraktik dengan betul hingga mengundang penularan virus lebih dahsyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kecuali Sarawak yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan dan akan disambung dengan PKPB.
Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaan PKP.
Sementara itu, Adnan berkata, walaupun sebelum ini angka jangkitan harian Covid-19 di bawah satu digit pernah dicatatkan pada tahun lalu, tetapi hanya mampu bertahan sekejap sahaja disebabkan kelonggaran yang diberikan kerajaan
“Ketika itu petugas kesihatan boleh menarik sedikit nafas lega kerana berjaya mengawal penularan virus daripada terus merebak. Bagaimanapun pelaksanaan PKPP dan PKPB yang tidak begitu ketat kawalan SOP menjadikan rakyat kembali alpa hingga kes mencecah ribuan kes setiap hari.
“Sektor ekonomi mula mengabaikan langkah keselamatan dengan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Kilang serta sektor ekonomi yang mencatatkan kes Covid-19 terus beroperasi seperti biasa bahkan ada majikan yang memaksa pekerja bekerja walaupun tidak sihat serta mengalami simptom,” katanya lagi.
Adnan menambah, pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan SOP yang lebih jelas dan tegas dalam melaksanakan PKPB di seluruh negara supaya selari dengan sasaran untuk menurunkan kes.
Katanya, pihak berwajib perlu mengeluarkan satu dasar yang jelas supaya setiap sektor ekonomi tidak mengambil kesempatan atas kelembutan kerajaan.
“Petugas kesihatan ini tidak mahukan pujian tetapi mahukan satu kepastian yang jelas mengenai hala tuju kita mengekang penularan Covid-19,” kata Adnan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

