Nurul Huda Abhar
SUDAH pulih dari Covid-19, tetapi perlu menempuh pula stigma masyarakat yang memandang bekas pesakit sebagai ‘pesalah’, malah penyebab wabak itu terus tersebar dalam kalangan masyarakat.
Demikian rentetan kisah terpaksa dilalui individu yang pernah dijangkiti bersama lapan ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 pada awal Januari lalu.
Nur Effa Maruf, 28, dari Putatan, Sabah tidak menyangka ahli keluarganya seramai 13 orang terpaksa melalui detik dipulau oleh orang kampung kerana menjadi pesakit Covid-19.

“Stigma bermula semasa ibu saudara meninggal dunia. Ada yang kata makcik saya meninggal disebabkan Covid-19. Tapi dia tidak dijangkiti, dah lama dia menanggung sakit. Dia juga bukan duduk serumah dengan keluarga kami.
“Keluarga saya dan saudara rapat sekeliling kami dipulaukan oleh orang kampung sebab mereka kata kami bawa Covid-19,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.
Menurut Nur Effa, ada juga individu yang menyalahkan keluarganya menjadi penyebab mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19.
Malah, beliau mengakui terdapat segelintir saudara-mara terdekat tidak memahami situasi yang sedang berlaku dan hanya menuding jari menyalahkan pesakit Covid-19.
‘Situasi di pejabat pula, walaupun hampir sebulan tidak ke pejabat tetapi nama tetap dikaitkan menjadi penyebab pejabat perlu disanitasi. Padahal ada orang lain yang baru-baru ini dijangkiti.
“Mereka cakap gara-gara saya kena Covid-19, pejabat kena tutup. Stigma ni selalunya orang yang terdekat juga yang lakukan,” katanya yang berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan di Kota Kinabalu.
9 ahli keluarga positif Covid-19
Bermula dengan kakaknya yang bertugas sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu disahkan positif Covid-19, lantas ahli keluarganya yang lain menjalani ujian swab sebagai langkah berjaga-jaga.
Nur Effa berkata, kakaknya mengalami demam dalam tempoh masa agak lama dan telah membuat ujian swab sebanyak empat kali sebelum itu dan keputusan adalah negatif.
Ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19 termasuk ibu dan bapanya mengalami simptom gejala seperti demam, batuk, hilang deria rasa dan bau serta sakit bahagian dada.
“Daripada 13 ahli keluarga, sembilan daripada kami dijangkiti. Termasuk ayah berumur 60 tahun dan ibu, 55. Ayah pula memang golongan berisiko kerana ada penyakit kencing manis dan penghidap asma.

“Kami sembilan orang kuarantin di rumah. Semasa terima keputusan positif Covid-19 pun seperti dah bersedia sebab macam dah boleh agak kerana semua simptom ada.
“Anak saudara saya umur empat tahun tidak dijangkiti, walaupun memang rapat dengan saya. Syukur Alhamdulillah. Adik lelaki dan abang ipar juga negatif,” ujarnya.
Jelasnya lagi, simptom sesak nafas mula timbul semasa hari kelapan dikuarantin sehingga memaksa dia dan kakaknya dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Kata Nur Effa, semasa di Unit Kecemasan Covid-19, petugas kesihatan menerangkan keadaan wad dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sudah penuh ekoran kes jangkitan yang tinggi di Sabah.
Oleh itu, katanya, selepas mendapatkan rawatan dia dihantar kembali menjalani kuarantin di rumah manakala kakaknya dihantar ke PKRC Likas kerana tekanan darah tidak stabil.
Pada hari itu juga, ayahnya dihantar ke hospital kerana mengalami gejala yang sama selama empat hari.
“Semasa ayah tiba ke hospital dengan ambulans kedua, ayah ditempatkan di sebelah katil saya. Saya lihat keadaan kesihatan ayah sedikit menurun termasuk kandungan oksigen dalam badan tidak cukup.

“Ayah kena tahan di hospital hampir seminggu, dan ayah adalah pesakit Covid-19 tahap empat yang memerlukan bantuan alat pernafasan.
“Kami syukur ayah kuat semangat, boleh sembuh walaupun mempunyai risiko penyakit yang lain. Risau sangat masa itu kerana kita tahu warga emas adalah paling berisiko tinggi,” katanya lagi.
Nur Effa berkata, paling utama adalah pesakit Covid-19 perlu kuat semangat dan kekal positif untuk sembuh, bukan bergantung kepada kekuatan antibodi semata-mata.
Katanya, ahli keluarga dan masyarakat perlu memberi sokongan moral kepada pesakit Covid-19 dan elakkan sebarang persepsi negatif yang boleh mendatangkan trauma kepada mereka. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

