AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim yang didakwa hanya memberi alasan bagi mengelak membantu rakyat yang memerlukan bantuan komputer riba.
Ia susulan Adun Teluk Bahang itu menerusi laporan media menyatakan tiada peruntukan membabitkan komputer riba atau kelengkapan gajet lain buat masa ini bagi pelajar yang mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Syed Saddiq berkata, sebagai Adun dari parti kerajaan yang memerintah di persekutuan Zolfifly tidak seharusnya memberi alasan kerana beliau dari pembangkang pun mampu membantu rakyat yang memerlukan.
“Kamu Adun dari parti kerajaan yang memerintah di federal. Peruntukkan federal ada, peruntukkan dari parti pun ada.
“Saya yang di kerusi pembangkang pun dapat membantu lebih 200 keluarga (soon tambah lagi 100+) untuk dapatkan Laptop berkualiti. Jangan berikan alasan. Banyakkan berkhidmat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata sekiranya semua Ahli Parlimen dan Adun bersama membantu masalah itu pastinya dapat diselesaikan.
“Pecahkan tembok politik dan fokus untuk selesaikan masalah rakyat. Kalau bukan kita, siap lagi?,” katanya.
Sebelum ini, Zolkifly dilaporkan berkata tiada peruntukan membabitkan komputer riba atau kelengkapan gajet bagi sesi PdPR, sebaliknya beliau menyarankan pelajar di DUN berkenaan yang berdepan kesukaran boleh ke pusat khidmat beliau di Sungai Rusa, Pulau Pinang.
“Saya tak buat peruntukan ini (komputer riba dan gajet). Tetapi, pelajar boleh ke pusat khidmat di Sungai Rusa dan gunakan komputer yang ada di situ untuk sesi PdPR,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

