Piala FA: Fernandes pastikan United mara

0
2

GOL sepakan percuma Bruno Fernandes membantu Manchester United menang tipis 3-2 ke atas Liverpool dalam aksi sengit pusingan keempat Piala FA, awal pagi tadi.

Liverpool yang turun tanpa kelibat ketua pasukan Jordan Henderson, terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Mohamed Salah setelah menerima hantaran Roberto Firmino pada minit ke-18.

Tersentak dengan jaringan itu, United bingkas memperkemas rentak permainan dan lapan minit kemudian menerusi satu serangan balas, United menyamakan kedudukan menerusi Mason Greenwood.

Gol itu berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan Liverpool yang gagal membaca bola hantaran awal dari kawasan lawan yang mudah meloloskan Greenwood untuk menjaringkan gol.

Tiga minit babak kedua bersambung, Marcus Rashford menghukum kelalaian pertahanan muda Liverpool Rhys Williams, dengan mudah meloloskan diri dan merembat rendah menewaskan Alisson Backer untuk United mendahului 2-1.

Namun, jaringan penyamaan menerusi ayam tambatan Liverpool, Mohamaed Salah pada minit ke-58 menghidupkan semula harapan Liverpool.

Tuah seperti tidak berpihak kepada Liverpool dalam perlawanan itu apabila United dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-78.

Fernandes tidak melepaskan peluang dengan merembat melepasi benteng pertahanan Liverpool dan Backer sekali lagi.

Kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan menyebabkan Liverpool terpaksa menelan kepahitan dengan melupakan buruan kejuaraan Piala FA yang kali terakhir mereka julang pada 2006. – Malaysiapost

Berita berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here