PKP: Ustaz Husam rayu pihak berkuasa agama teliti semula SOP di masjid

0
2
Ahmad Husam Baderudin Presiden Penyatuan Ummah Malaysia

PIHAK berkuasa agama diminta meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) susulan penutupan masjid ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Penyatuan Ummah Malaysia, Ahmad Husam Baderudin berkata, banyak pihak menghubunginya mengeluh kerana sukar melaksanakan ibadah solat kerana masing-masing perlu mencari rezeki di luar.

“Bagi mereka yang bekerja seperti penghantar makanan, buruh, pemandu lori, pemandu teksi ini mereka menghadapi kesukaran kerana masjid ditutup dan jika ada masjid yang buka pengunaannya pula amat terhad.

“Ada kalangan mereka apabila bekerja pakaian kotor dan perlukan tempat untuk menukar pakaian tetapi apabila masjid ditutup jadi sukarlah untuk mereka beribadat,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

Ahmad Husam berkata beliau merayu kepada pihak berkuasa agama untuk meneliti semula SOP masjid, di mana mungkin ada ruang untuk golongan ini untuk beribadat.

“Sebagai contoh yang berlaku di Negeri Sembilan, mungkin kita boleh bincang dan beri sedikit kelonggaran. Saya berharap pandangan saya ini dapat didengar dan dapat diambil tindakan. Saya merayu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan semua masjid dan surau di Negeri Sembilan dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKP di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, bagaimanapun ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta garis panduan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here