PKP: Kelantan mohon kuota solat jumaat ditingkatkan kepada 50 jemaah

0
2

KERAJAAN Negeri Kelantan membuat permohonan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) supaya jumlah jemaah untuk solat Jumaat ditingkatkan kepada 50 jemaah.

Permohonan itu dibuat susulan jumlah individu yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu ketika ini adalah 12 orang.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) negeri Kelantan bersetuju membuat permohonan supaya jumlah jemaah untuk solat Jumaat ditingkatkan kepada 50 jemaah.

“Apa yang penting, setiap individu perlu mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan virus ini sudah hidup dalam masyarakat, maka kita kena sentiasa berjaga-jaga,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Sementara itu, Dr Izani berkata Kerajaan Kelantan bersetuju dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memanjangkan tempoh operasi premis perniagaan sehingga jam 10 malam berbanding sebelum ini iaitu sehingga jam 8 malam.

Bagaimanapun katanya, aktiviti perniagaan seperti pasar malam masih belum dibenarkan.

“Bagi stesen minyak yang berkeperluan, mereka boleh membuat permohonan untuk memanjang tempoh operasi,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here