Nurul Huda Abhar
MESKIPUN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan, beberapa sektor yang masih dibenarkan beroperasi dibimbangi menjadi penyebab kepada peningkatan mendadak kes Covid-19.
Antara sektor berkenaan adalah pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sektor yang menyumbang kepada kes Covid-19 gelombang ketiga sehingga PKP 2.0 dan darurat terpaksa dilaksanakan ialah sektor pembuatan dan pembinaan.
“Tapi sektor yang dibenarkan terus beroperasi dalam PKP 2.0 juga adalah sektor pembuatan dan pembinaan.
“Di mana logiknya jika matlamat PKP benar-benar adalah untuk mengawal Covid?,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Najib juga memuat naik tangkap layar petikan berita kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah iaitu ‘Noor Hisham : Peningkatan kluster tempat kerja membimbangkan’.
Justeru, beliau memohon kerajaan agar mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP untuk dua minggu bagi memastikan ianya tidak dilanjutkan lebih lama.
“Sebab itu, buatlah PKP 2.0 yang paling ketat tanpa kelonggaran untuk 2 minggu.
“Jangan buat PKP setengah masak yang sudah pasti akan dilanjut berkali-kali,” ujarnya.
Semalam, Kluster Tapak Bina Bali Residence melaporkan kes baharu paling tinggi iaitu sebanyak 203 kes.
Kluster tempat kerja membabitkan daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, Melaka itu antara 11 kluster baharu yang dilaporkan pada hari semalam. –Malaysiapost
Berita berkaitan :
Malaysiapost (https://malaysiapost.com.my/2021/01/23/kluster-tempat-kerja-terus-meningkat/)
Kluster tempat kerja terus meningkat – Malaysiapost
Keadaan itu kemungkinan berkait rapat dengan peningkatan ujian yang dilakukan secara bertumpu.

