PADAH menimpa seorang penganggur yang mengugut menyebarkan gambar bogel bekas kekasih, apabila didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.
Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Fazrul Mohd Fuzi, 26, dari Kuala Pilah selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada jam 7.07 malam 17 Januari lalu, di Taman Desa Putera, tertuduh didapati melakukan ugutan jenayah dengan niat mahu menyebar gambar bogel bekas teman wanitanya yang berusia 22 tahun menerusi aplikasi WhatsApp.
Oleh yang demikan tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 akta sama, lapor Berita Harian.
Siasatan polis mendapati, tertuduh memiliki gambar dan video aib milik teman wanitanya itu di dalam telefon bimbitnya.
Tertuduh mengugut mahu menyebarkan gambar dan video milik bekas kekasihnya selepas wanita itu tidak mahu meneruskan hubungan dengannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Malaysiapost

