Renggo Arrow tebar roti canai sambil hiburkan peminat

0
1

DARI penyanyi kepada penebar roti canai. Menariknya sambil menebar roti canai bekas vokalis Kumpulan Arrow, Renggo sempat melayan pelanggannya dengan menyanyi.

Difahamkan, Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zain Ramli memulakan perniagaan roti canai itu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

Malah, video sedang menebar roti canai yang dipercayai tahun lalu itu juga tular di media sosial dan difahamkan Renggo menjalankan perniagaan berkenaan di Pasir Putih, Kelantan.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Renggo memaklumkan berniaga dan menebar roti canai bukan perkara baharu bagi dirinya kerana sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.

Renggo mengakui lagu hits Arrow seperti ‘Aku Tak Marah’ , ‘Terimalah Sayang Cintaku Seadanya’ , ‘Sendu Di Hatimu Rindu Di Hati Ku’ dan ‘Di Mana Senyummu’ masih menjadi siulan peminat dan dia masih gagah untuk mendendangkannya semula.

Dibantu dua anaknya mengurus kedai makan itu, Renggo berkata, sebelum ini dia berniaga roti canai di Kajang, Selangor namun disebabkan wabak Covid-19, perniagaannya merosot.

“Saya ke Kelantan kerana rakan karib minta saya berniaga di sini. Lagi pun kos hidup di Kelantan lebih murah berban­ding di ibu kota.

“Alhamdulillah, jualan roti canai saya di sini laris sehingga lebih 200 keping sehari, itu pun belum memenuhi permintaan pelanggan.

“Kuah dan sambal bilis saya masak sendiri. Angkat dan ambil pesanan dibantu sepenuh­nya oleh anak-anak. Saya hanya menebar roti,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here