Pemimpin Armada ditahan miliki ganja?

0
1

POLIS menahan seorang pemimpin pemuda sebuah parti politik dipercayai terbabit kegiatan dadah dalam serbuan di ibu negara, Rabu lalu.

Difahamkan polis turut merampas 1.5 kilogram daun kering dipercayai ganja, sembilan pokok ganja dan sejumlah cecair disyaki dadah jenis sama.

Turut ditahan susulan penahanan suspek berusia 35 tahun itu adalah isterinya berusia 34 tahun dan seorang warga asing dipercayai pembantu rumah pasangan terbabit.

Menurut sumber polis seperti dilaporkan Malaysiakini, suspek adalah pemimpin Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Suspek pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 bagi kerusi Parlimen di Perak.

Dia ditahan di Fraser Business Park di Kuala Lumpur pada tengah hari Rabu susulan maklumat awam diterima polis.

Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah unit kondominium di Ampang, pada hari sama.

“Hasil pemeriksaan menemui tujuh pokok dan dua anak pokok ganja serta beberapa botol disyaki mengandungi ekstrak ganja.

“Polis turut menemui daun kering dipercayai ganja dalam beberapa beg plastik dan bekas,” kata sumber itu.

Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM60,000 dan ketiga-tiga yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain mengesahkan kes berkenaan dan ia masih dalam siasatan lanjut polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here