Dua mengaku salah provokasi polis di Pulau Pinang

0
1

DUA daripada empat individu yang didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung, Tanjung Tokong di Pulau Pinang Ahad lalu, mengaku bersalah hari ini.

Shahrizal Anuar, 38, dan Mohd Safwan Akbar, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Dua lagi tertuduh, Mohd Hafiz Nasri Shah, 28, dan Mohd Danial Al Arabia Mohd Rafi, 24, bagaimanapun minta dibicarakan atas pertuduhan sama, lapor Harian Metro.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membuat provokasi terhadap tiga anggota polis di simpang lampu isyarat Jalan Tanjung Tokong pada jam 5.40 petang 17 Januari lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 25 Januari ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman terhadap Shahrizal dan Mohd Safwan.

Tarikh 25 Februari depan pula ditetapkan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap Mohd Hafiz dan Mohd Danial Al Arabia.

Mahkamah turut menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap keempat-empat tertuduh.

Sementara itu, keempat-empat mereka bersama tiga yang lain iaitu Azizul Mohamad, 45; Mohd Idris Ayob, 25, dan Danish Ikmal Mohd Shafiq Samugam, 20, di mahkamah sama mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi dan masa yang sama.

Kesalahan didakwa mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Mahkamah menetapkan 25 Januari ini sebagai tarikh jatuh hukum serta membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap semua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Komisioner Siti Hajar Jaafar, manakala hanya Danish Ikmal diwakili peguam, Mohd Rafiee Noordin.

Sebelum ini tular di media sosial gambar dan video mengenai dua lelaki parah akibat terjatuh motosikal selepas dikatakan ditendang dua anggota polis.

Video berkenaan turut memaparkan orang ramai tidak berpuas hati dan melakukan provokasi terhadap anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang dikatakan menendang motosikal mangsa.

Bagaimanapun laporan polis oleh pemandu kereta yang terbabit, mendapati dua lelaki berkenaan yang tidak memakai topi keledar melarikan diri daripada polis dan melanggar lampu isyarat merah sebelum terbabit dalam kemalangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here