‘Malaysia bukan lagi pilihan pelabur sektor automatif’ – Syed Ibrahim

0
1

MALAYSIA bukan lagi pilihan pelabur asing dalam sektor automotif yang kini memilih untuk menanam modal di negara jiran, kata Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.

Syed Ibrahim berkata, situasi itu terbukti hasil daripada perkembangan terkini yang berlaku dalam bidang automatif tempatan.

Beliau berkata, pembukaan pusat pengedaran alat ganti serantau Volkswagen di Tanjung Pelepas, Johor bukan ukuran untuk membuktikan ekonomi Malaysia masih kukuh ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

“Namun, perkembangan ini juga merupakan bukti ekonomi dan pelaburan Malaysia masih tidak kukuh. Projek pembukaan pusat serantau ini telah diumumkan semenjak tahun 2016 dan dijadualkan siap pada penghujung tahun 2018.

“Tetapi, atas faktor ekonomi dan hala tuju negara yang tidak meyakinkan, ia hanya dapat beroperasi pada suku pertama tahun 2021. Ia bukan contoh pelaburan asing langsung dalam keadaan pandemik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri agar lebih giat memainkan peranan membawa masuk pelaburan asing ke dalam negeri.

“Kerajaan wajib meneliti dan merangka pelan untuk memanfaatkan pelaburan-pelaburan ini bagi rakyat dan ekonomi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, aliran pelaburan antarabangsa di rantau Asia yang kini beralih angin ke negara jiran juga wajib diberi perhatian.

Katanya, pakar-pakar ekonomi menyuarakan kebimbangan terhadap pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua dan pengisytiharan darurat oleh kerajaan yang membawa kesan kepada keyakinan pelabur asing.

“Sebagai contoh, landskap automotif yang dahulunya berkembang pesat dalam Malaysia kini beralih tumpuan ke Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Syarikat-syarikat besar seperti Hyundai
dan Mercedes-Benz kini cenderung untuk membuka cawangan di negara jiran Thailand dan Singapura,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memuat naik artikel dalam status Facebooknya mengenai pembukaan pusat pengedaran alat ganti serantau Volkswagen di Tanjung Pelepas,

Tengku Zafrul berkata, ia menjadi bukti mengenai kedudukan Malaysia sebagai hub perniagaan utama syarikat multinasional.

Dengan infrastruktur yang mantap, hubungan bertaraf dunia dan bakat yang siap di masa depan, Malaysia akan menjadi destinasi utama syarikat multinasional yang ingin berkembang ke rantau Asia Pasifik. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here