Majoriti Ahli Parlimen tulis surat pada Agong – Anwar

0
1

MAJORITI ahli Parlimen pembangkang dan beberapa daripada kerajaan dikatakan sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia berkenaan memohon kebijaksanaan baginda menilai semula alasan dipersembahkan Perdana Menteri membabitkan isu darurat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majoriti ahli Parlimen itu sudah menghantar surat berkenaan kelmarin.

Katanya, apabila kerajaan membuat keputusan mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen, ahli Parlimen berasa bertanggungjawab untuk menyuarakan keluhan rakyat.

“Ya benar, sekarang ini (bilangan) ahli Parlimen yang menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong itu sudah mencecah lebih daripada majoriti.

“Bukan membantah, (sebaliknya) merayu ihsan dan kebijaksanaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong untuk menimbang, melihat semula, mengkaji alasan yang kami kira, yang dibawa Perdana Menteri itu, tidak munasabah, tidak cukup kuat,” katanya dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook, hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata beliau dan majoriti Ahli Parlimen tersebut memohon ihsan Al-Sultan Abdullah mempertimbangkan permohonan yang dibuat.

“Maka, kami memohon untuk Yang di-Pertuan Agong menimbang dan kita terima keputusan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, ahli Parlimen terbabit termasuk dirinya memohon supaya Yang di-Pertuan Agong untuk mendengar hujah yang dikemukakan mereka berhubung pengisytiharan perintah darurat itu untuk dipertimbangkan.

Pada masa sama, Anwar memaklumkan, perkara kedua membabitkan urusan Parlimen berikutan ada peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan sidang Parlimen berjalan walaupun dalam keadaan darurat.

Tambahnya, walaupun Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa Yang di-Pertuan Agong membuat Proklamasi Darurat, Perkara 150(3) pula membolehkan sidang Parlimen berjalan seiring dengan perintah darurat itu

Sementara itu, Anwar turut memaklumkan, permohonannya di mahkamah pula bukan menyentuh soal darurat itu sendiri sebaliknya bagi mendapatkan keputusan supaya Parlimen boleh terus bersidang.

Jelasnya lagi, permohonan itu dijangka akan dibuat seawal esok

Ketika menjawab soalan yang diajukan, Anwar berkata, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat tidak sama dengan sidang Parlimen kerana ia tidak mempunyai kuasa eksekutif.

Ia hanya dianggotai empat ahli Parlimen kerajaan dan tiga Ahli Parlimen pembangkang, tambahnya.

“Kita sambut dan putuskan untuk menghantar wakil dan jawatankuasa itu adalah jawatankuasa bebas, bukan terdiri daripada kuasa eksekutif.

“Maknanya mereka akan dengar dan memberi pandangan dan pandangan itu lebih menjurus kepada pengisytiharan darurat, bila patut dihentikan dan sebagainya. Itu bukan penyelesaiannya,” katanya.

Katanya, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah menghantar surat kepada Menteri Undang-Undang untuk mendapatkan penjelasan mengenai siapa pengerusi jawatankuasa serta apa tugas ahli sebelum nama wakil pembangkang dikemukakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here