KERAJAAN Kedah membatalkan cuti umum bagi perayaan Thaipusam tahun ini, berikutan larangan semua aktiviti sambutan perayaan tersebut.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Rabu lalu akibat peningkatan semasa kes Covid-19.
“Tidak ada cuti peristiwa. Oleh kerana tidak ada perayaan tahun ini, tidak ada cuti umum pada 28 Januari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksanakan bagi penganut yang akan ke kuil untuk bersembahyang dengan mengehadkan jumlah mereka kepada satu pertiga daripada kapasiti rumah ibadat berkenaan.
“Contohnya, jika kuil berkenaan boleh menampung 100 orang, hanya 33 dibenarkan memasukinya,” katanya.
Selain itu, katanya, upacara membabitkan pembawa kavadi tidak dibenarkan.
Menurut Muhammad Sanusi, SOP ketat juga akan dilaksanakan untuk sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan.
Katanya, mana-mana wakil rakyat yang ingin menghadiahkan limau mandarin kepada orang ramai hanya boleh berbuat demikian menerusi sistem pandu lalu.
Sambutan Thaipusan sebelum ini adalah cuti peristiwa di Kedah, Pulau Pinang, Selangor.
Hanya Kedah membatalkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa tahun ini, manakala Pulau Pinang dan Selangor tidak berbuat demikian meskipun sambutan pelbagai acara bersempena Thaipusam dibatalkan kerana wabak Covid-19. – Malaysiapost

