YDPA harap petugas barisan hadapan terus cekal, tabah perangi Covid-19

0
1

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar wira dan wirawati petugas barisan hadapan terus cekal dan tabah dalam memerangi gelombang ketiga penularan wabak Covid-19.

Dalam menzahirkan kata-kata semangat kepada petugas barisan hadapan, Al-Sultan Abdullah amat memahami cabaran besar diharungi mereka ekoran kenaikan mendadak kes positif harian yang mencecah empat angka secara berterusan sejak hujung tahun lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata Al-Sultan Abdullah amat menyanjungi tinggi pengorbanan petugas barisan hadapan demi keselamatan rakyat dan membendung Covid-19 serta merawat pesakit wabak yang boleh meragut nyawa itu.

Justeru, katanya, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar semangat kental dan juang tinggi oleh petugas barisan hadapan sebagai benteng utama sejak penularan wabak ini pada awal tahun lalu turut dihargai seluruh rakyat.

“Sesungguhnya, usaha gigih petugas barisan hadapan bertugas tanpa henti dan bersabung nyawa di lapangan, klinik kesihatan, hospital, makmal dan semua fasiliti kesihatan, mahupun di belakang tabir, demi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat sewajarnya dipuji dan terus dihargai.

“Demi tugas, wira dan wirawati negara ini bukan sahaja sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah yang diberi, mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga sejak penularan wabak ini.

“Mereka kini bukan sahaja letih memerah keringat, tetapi juga keletihan mental,” kata kenyataan itu.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa dukacita terhadap rakyat yang masih tidak peka, khususnya terhadap pematuhan disiplin amalan kebiasaan baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak ini.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat untuk menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi semua perintah ditetapkan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP).

“Seri Paduka Baginda bertitah maka inilah masanya untuk kita, sebagai rakyat Malaysia mengenepikan perbezaan politik, bangsa dan agama, bersama mempamer semangat kesetiaan, kemanusiaan dan jati diri memerangi Covid-19.

“Semoga dengan sokongan dan kerjasama rakyat, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa kita bukan sahaja mampu sekali lagi melandaikan lekuk kes-kes jangkitan harian, malah mampu meringankan beban petugas barisan hadapan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here