PAS percaya ramai orang Umno tolak DAP – Hadi

0
1

PAS percaya kerjasama antara Umno dengan DAP sukar dilaksanakan kerana hanya segelintir ‘orang Umno’ yang mahu melihat kerjasama itu dijayakan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata perkara itu sukar berlaku kerana sudah cuba direalisasikan di peringkat Persekutuan dan negeri sebelum ini namun tidak berjaya.

Menurutnya, Pas juga tidak bimbang perkara itu akan menggugat persefahaman yang dibuat dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN).

“Perkara ini sudah cuba dilaksanakan dengan kerjasama antara Umno dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) namun tidak berjaya dan kemudian cuba dibuat di Perak.

“Namun tidak berjaya juga kerana hanya segelintir sahaja orang Umno ingin kerjasama dengan DAP dan PKR,” katanya dalam program Minda Profesor Negara – siri ‘Bicara Negarawan’ hari ini.

Dalam program anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) itu, Abdul.Hadi menjawab soalan Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose yang bertanya mengenai desas desus Umno ingin kerjasama dengan PKR dan DAP untuk menubuhkan kerajaan.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, di Malaysia senario politik bukan Islam juga bukan dipengaruhi parti politik bukan Islam.

“Dalam senario pilihan raya di negara kita, DAP kadang-kadang menang banyak kerusi dan kadang kala sedikit.

“DAP juga tidak banyak cawangan seperti Umno dan PAS kerana pengundi bukan Islam mengikut kaum mereka dan lebih dikuasai oleh persatuan mereka yang menggerakkan setiap kaum itu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengalaman PAS bekerjasama dengan DAP suatu ketika dulu, beliau menyifatkan ia hanyalah untuk memenangi pilihan raya.

“Pengalaman PAS dengan DAP lebih bersifat untuk mendapat kemenangan pada pilihan raya kerana bila sampai hendak merealisasikan Perlembagaan terdapat percanggahan.

“Contohnya Pas ingin tegakkan Islam dalam Perlembagaan dengan menghormati agama lain, namun bila kita nak laksanakan hukum Islam, mereka (DAP) gelabah tidak setuju pada hal kita tidak ganggu mereka tetapi mereka yang ganggu hal kita kerana bimbang orang bukan Islam terpengaruh dengan Islam,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa percangahan lain antara PAS dan DAP ketika itu termasuk isu bahasa Melayu dan institusi diraja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here