POLIS tak tendang, itu pengakuan penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Tanjung, Pulau Pinang, kelmarin.
Penunggang motosikal itu juga memaklumkan tiada berlaku sebarang kekasaran anggota unit rondaan bermotorsikal (URB) semasa kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis telah merekodkan keterangan daripada penunggang motosikal tersebut semalam.
“Lelaki berusia 21 tahun yang juga seorang pekerja hotel mengakui tiada berlaku tendangan daripada anggota polis semasa kejadian berlaku.
“Bagaimanapun rakannya yang juga pembonceng berusia 19 tahun masih menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan Hospital Pulau Pinang,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Soffian berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menahan individu lain yang cuba menimbulkan provokasi dalam isu berkenaan berdasarkan hasil soal siasat dan rakaman video yang diperoleh.
Terdahulu, tujuh lelaki direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden sekumpulan lelaki disyaki mengepung dan menghalang tugas polis dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, kelmarin.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown, Nur Fadrina Zulkhairi pagi ini. -Malaysiapost

