TALIAN telefon dan aplikasi WhatsApp Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid didakwa diceroboh dan digodam sejak malam tadi.
Pegawai Khasnya, Aizat Azam menerusi kenyataan memaklumkan segala hantaran dan maklum balas melalui WhatsApp daripada nombor telefon Ahli Parlimen Padang Terap dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu sejak malam tadi adalah bukan daripadanya.
“Adalah dimohon tuan-tuan dan puan-puan untuk mengabaikan sebarang bentuk hantaran dan maklum balas yang tidak menyenangkan.
“Untuk makluman, walaupun Datuk Seri Mahdzir tidak menggunakan WhatsApp dan mematikan telefon bimbitnya, tetapi aplikasi itu kelihatan sedang ‘online’ yang mana jelas menunjukkan ia sedang digodam oleh seseorang,” katanya.
Aizat berkata, laporan polis sudah dibuat berhubung perkara itu oleh wakil Mahdzir pada jam 2 pagi tadi di Balai Polis Travers di Kuala Lumpur.
“Harap polis serta Suruhanja Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat segera dan mengambil tindakan lanjut terhadap pihak tidak bertanggungjawab menggodam talian telekomunikasi berkenaan.
“Buat masa ini beliau (Mahdzir) terpaksa mematikan talian telefon bimbitnya bagi langkah-langkah keselamatan dan mana-mana pihak yang cuba menghubungi beliau diharap maklum mengenai kejadian penggodaman ini,” katanya. – Malaysiapost

