Gesa sidang khas Parlimen: Azalina tolak surat Ahmad Maslan

0
1
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

DATUK Seri Azalina Othman Said hari ini menolak permohonan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mahukan Ahli Parlimen parti itu menyokong gesaan supaya sidang khas Parlimen diadakan berhubung proklamasi darurat.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, beliau adalah individu yang berpegang teguh kepada demokrasi berparlimen.

“Ia wajar ditekankan bahawa fasal 14(1) ordinan yang baru saja dimasyhurkan oleh Yang di-Petuan Agong baru-baru ini memperuntukan bahawa Parlimen hanya boleh dipanggil sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di- Pertuan Agong.

“Oleh itu, pada hemat saya, kebarangkalian Yang di-Pertuan Agong memanggil satu persidang Parlimen dalam masa terdekat ini ataupun membatalkan proklamasi dan ordinan tersebut sama sekali sangatlah tipis.

“Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, maka dengan segala hormatnya saya menolak dan tidak bersetuju dengan permohonan persetujuan ke atas isu tersebut seperti mana yang diminta oleh YB Pontian melalui surat 18 Januari 2021,” katanya dalam surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung Umno itu.

Terdahulu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan Ahmad mengantar surat kepada Ahli Parlimen Umno untuk menyatakan persetujuan dengan gesaan agar satu sidang parlimen khas diadakan berhubung proklamasi darurat

“SUA Umno menulis kepada MP dan memberi masa kurang dari 24 jam untuk menyatakan persetujuan menggesa YDP Agong memanggil sidang parlimen, kononnya di bawah perkara 150(3) Perlembangaan Persekutuan.

“Elok SUA Umno itu rujuk constitutional expert (pakar perlembagaan) supaya kelihatan lebih cerdik hal undang-undang,” kata Anuar menerusi Twitternya.

Sementara itu, Azalina mencadangkan syor tertentu yang boleh diketengahkan kepada Agong dan antaranya menubuhkan Majlis Khas Parlimen bagi menasihati Seri Paduka Baginda berkenaan hasil pemantauan, penilaian dan isu berkaitan hak asasi dan kebebasan rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Majlis tersebut boleh terdiri daripada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dari parti kerajaan dan pembangkang serta diberikan kuasa untuk memanggil rakyat bagi memberikan pandangan, input dan cadangan,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here