Kes Covid-19 meningkat di Perlis angkara individu dari zon merah

0
1

PENINGKATAN kes positif Covid-19 di Perlis adalah berpunca dari kehadiran individu-individu bergejala dari zon merah sepanjang Disember 2020 lalu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata, kehadiran mereka ke Perlis sama ada sebagai pelancong, balik kampung kerana bercuti atau hadir majlis-majlis kenduri.

“Saya sedar rakyat Perlis bimbang dengan situasi ini. Saya juga bimbang.

“Tetapi saya yakin semua yang terlibat untuk mengekang dan menangani penularan wabak ini, iaitu barisan hadapan, terutamanya pihak berkuasa kesihatan, PDRM, ATM dan lain-lain sedang berusaha melakukan yang terbaik.

“Kita sebagai rakyat wajib berikan kerjasama rapat yang sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya lewat malam tadi.

Semalam, buat pertama kali kes Covid-19 di Perlis mencecah tiga angka kepada 114 kes apabila 16 kes positif baharu dilaporkan.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, kesedaran tentang risiko Covid-19 dalam kalangan rakyat sudah sedia tinggi dan kerana itulah Perlis bertahan lama sebagai zon hijau sehinggalah munculnya kes-kes baharu seminggu lalu.

“Harapan saya agar seluruh rakyat Perlis terus mematuhi dan mengamalkan dengan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya yakin dengan sikap dan disiplin yang tinggi dalam kalangan rakyat, Perlis akan kembali ke zon hijau semula. Mohon semua bersabar dan istiqomah mematuhi SOP. In-syaa-Allah,” katanya.

Sementara itu beliau menjangka jumlah kes harian Covid-19 di Perlis terus meningkat dalam beberapa hari akan datang apabila semua keputusan saringan diperoleh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here