Berapa ramai umat Islam murtad semasa PKP?

0
1
Ahmad Husam Baderudin Presiden Penyatuan Ummah Malaysia

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN harus memandang impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja dari segi ekonomi dan politik, malah sudut akidah umat Islam.

Presiden Penyatuan Ummah Malaysia, Ahmad Husam Baderudin berkata, pihak berwajib perlu membuat kajian daripada tempoh PKP yang dilaksanakan tahun lalu sehingga PKP 2.0 berapakah jumlah umat Islam yang murtad dan menggadaikan akidah akibat kesempitan hidup.

“Bila saya ‘post’ ceramah saya di Facebook, hari ini saya dapat banyak mesej antaranya yang saya paparkan ‘screen shot’.

“Bagaimana seorang pemuda daripada Pulau Pinang yang mengesahkan dirinya sendiri hampir murtad.

“Sebab itu saya kata daripada kita pandang isu PKP dan darurat melalui sudut ekonomi dan politik sahaja, jangan terlepas pandang dari sudut akidah,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Sementara itu, menerusi video ceramahnya yang dikongsi di Facebooknya, juga diselit kisah seorang ibu tunggal yang telah murtad akibat kesempitan hidup dan tiada sumber kewangan selepas kematian suami akibat kemalangan.

Dalam perkongsian tersebut, Ahmad Husam memberitahu kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu, dan ibu tunggal berkenaan terpaksa meminta bantuan daripada pihak gereja kerana buntu untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.

“Apa yang saya nak maksudkan, semasa tiada PKP umat Islam yang dalam kesempitan hidup pun boleh murtad apatah lagi yang kita tengok daripada PKP tahun lepas.

“Angka yang dikeluarkan hampir sejuta yang kehilangan pekerjaan, kalau daripada sejuta itu agak-agak berapa orang yang telah murtad akibat hilang kerja, kesempitan hidup?

“Kalau masa dulu tiada PKP pun kes murtad kita tak terjaga, bagaimana pula selepas PKP ini. Itulah maksud saya,” ujarnya lagi.

Berikutan itu, beliau memohon mana-mana pihak yang bertanggungjawab khusus dari segi hal ehwal agama Islam agar memandang serius isu tersebut supaya tidak menjadi lebih teruk.

Selain itu, katanya, umat Islam sendiri perlu memainkan peranan bersama-sama menjaga akidah dan kebajikan sesama umat demi kesejahteraan sejagat.

“Saya mengajak semua umat Islam supaya sama-sama berganding bahu untuk menjaga akidah umat. Janganlah bila tengok orang susah kita biar. Kita kena ambil peduli, saling membantu kerana kita ini satu keluarga. Sekadar mana yang kita mampu,” ujar Ahmad Husam.

Menerusi hantaran berasingan di Facebook, beliau memuat naik satu tangkap layar di mana seorang lelaki memberitahu hampir murtad disebabkan tiada halu tuju untuk meminta bantuan semasa terpaksa keluar daripada rumah.

Namun begitu, lelaki dalam tangkap layar tersebut memberitahu terdapat seorang hamba Allah yang berjaya menariknya semula ke agama Islam. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here