SKUAD Harimau Malaya menerima khabar gembira hari ini selepas dibenarkan menjalani latihan pusat secara tapak kuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, skuad bola sepak kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe kini boleh melakukan persiapan untuk kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
“Selepas berbincang dengan Presiden FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tadi, saya lihat mereka boleh gunakan premis Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai pusat latihan.
‘MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang memudahkan untuk dilakukan operasi berasaskan ‘quarantine based’ berbanding tempat lain.
“Presiden FAM pun dan bincang dengan KP (Ketua Pengarah) MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) dan secara prinsipnya ia pendekatan yang akan digunakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Reezal berkata, keputusan itu dicapai selepas menyaksikan kemudahan di MSN mampu menempatkan 30 hingga 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain yang akan memulakan latihan dalam masa terdekat.
Latihan pusat skuad kebangsaan yang sepatutnya bermula Sabtu lalu dibatalkan selepas Selangor tersenarai antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 13 Januari lalu akibat pandemik Covid-19. -Malaysiapost

