KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah baik kemudahan i-Sinar terutama bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan serta bencana banjir.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaya kerajaan telah dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2.
“Proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.
“Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari. Maklumat lanjut akan diumumkan oleh KWSP dalam masa terdekat,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, sebentar tadi.
Sementara itu, Muhyiddin berkata bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan.
“Moratorium, termasuk lanjutan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bankbank, seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 bank telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman.
“Setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan pembayaran, dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi peminjam PKS,” katanya. – Malaysiapost

